Wednesday, January 28, 2009

KEPIMPINAN MAHASISWA : realiti semasa

KEPIMPINAN MAHASISWA

ABSTRAK 

Almarhum Bapak Mohammad Natsir (mantan Perdana Menteri Indonesia) pernah mengatakan,” Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin”. Menurut Natsir lagi, pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah geladangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat[1]. Justeru itu,kertas kerja ini akan memperlihatkan bagaimana kepimpinan mahasiswa di kampus harus diperkasakan dalam melahirkan golongan intelektual yang akan menjadi harapan ummah pada masa akan datang. Tambahan pula, kebanyakan mahasiswa tidak mampu mendepani ledakan arus globalisasi yang kian menghimpit struktur masyarakat kini. Harus diingat, gerakan mahasiswa merupakan suatu kuasa yang harus diambil perhatian kerana ia mempunyai sejarah yang tersendiri. Maka tidak hairanlah pemimpin dari peringkat Negara sehinggalah di peringkat masyarakat lahir daripada mantan pimpinan kampus di era 70an dulu.




PENDAHULUAN 

Kalau dibandingkan mahasiswa dulu dan sekarang, amat jelas bahawa dahulu mahasiswa lebih pro-aktifdan tidak dapat dinafikan, lebih nakal. Tetapi mereka mampu menjaga diri sendiri. Mereka menjalankan persatuan-persatuan tanpa campur tangan daripada pihak universiti. Ini termasuk pengutipan dan pengurusan wang. Tidaklah dimaksudkan tidak berlaku penyelewengan. Tetapi penyelewengan berlaku di mana-mana sahaja (contohnya badan korporat seperti Arthur Andersen dan Enron). Universiti tidak pernah sunyi malah disebelah malam pun biasanya ada kegiatan(forum dan seminar, misalnya)[2]. Justeru itu, mahasiswa kini mempunyai tugas yang cukup besar dalam membina karismatik walaupun tidak sehebat mahasiswa zaman dulu tetapi mempunyai standard yang tersendiri dalam membina gaya kepimpinan yang boleh memimpin Negara pada masa hadapan.

Hal ini perlu diambil kira kerana mahasiswa sekarang pada umumnya perlu sentiasa dibimbing. Mungkin mereka juga tidak mampu untuk menjalankan kegiatan secara proaktif tetapi ini tidak diketahui kerana mereka tidak diberi kesempatan. Ramai penuntut (juga pensyarah) meninggalkan kuliah bila tiada kuliah.di kalangan penuntut, forum dan seminar jarang diadakan. Kalau ada pun jarang dibincangkan tajuk-tajuk yang intelektual. Ini selaras dengan pendekatan pendidikan sekarang yang lebih bersifat mengajar bukannya mendidik ataupun mirip kepada c. cloning daripada membebaskan minda penuntut



Kepimpinan mahasiswa

Peter F. Drucker mengatakan, “….the leader sees leadership as responsibility rather than as rank and privilege”. Beliau membezakan antara leader(pemimpin) dengan misleader(penyesat). Menurut Drucker lagi pemimpin mempunyai matlamat perjuangan yang unggul, tahu erti dan fungsi kepimpinan dan tidak takut dan cemburu dengan kekuatan rakan-rakan dan orang bawahannya. Kejayaan mereka tidak dirasakan sebagai gugatan, sebaliknya dianggap sebagai kejayaannya juga. Misleader atau penyesat pula sebaliknya. Mereka rasa tergugat dengan kecemerlangan rakan-rakan dan para bawahannya, lalu beruasaha untuk menyingkirkan mereka.[3]

Sememangnya mahasiswa sejak di kampus lagi harus digilap bakat kepimpinannya agar dapat menjadi seorang pemimpin –pendidik ataupun transforming leader yang mampu merubah nasyarakat menjadi lebih baik dan unggul pama masa akan dating bial mereka menjadi pemimpin negara. Menginsafi keadaan ini, pemimpin mahasisaw perlulah menoleh kembali peranan mereka. Pimpina mahasiswa perlu menoleh kembali sejarah perjuangan, mengamati dan menganalisis cabaran semasa serta membentuk visi dan misi masa depan. Hanya mahasiswa yang mempunyai misi dan misi masa depan saja yang akan sedar betapa mahalnya niali perpaduan, toleransi, budaya dan tyradisi ilmu, memahami adabul ikhtilaf(berbeza pandangan), faham menguruskan perubahan(managing changing) dan musyawarah bagi merealisasikan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin(membawa rahmat ke seluruh alam).[4]

Maka, kepimpinan mahasiswa kini memerlukan kepada nilaian budaya karismatik seperti yang telah dikatakan oleh Max Weber, cirri utama karisma ialah suka melawan status quo(taradisi),. Mereka ini mempunyai kekuatan wibawa dan daya pikat luar biasa yang dapat mempengaruhi dan menyakinkan orang ramai. Mereka ini biasanya sentiasa membawa sesuatu yang baru dan dirasakan baik untuk masyarakat. Bagi membina sebuah kepimpinan mahasiswa yang unggul, mahu atau tidak budaya kepimpinan mahasiswa perlu diambil berat oleh semua pihak terutamanya pihak mahasiswa sendiri dan pihak pentadbir universiti. Hakikat bahawa kepimpinan mahasiswa bakal mewarnai kepimpinan negara dan ummah pada masa kan dating perlu di pandang serius. Budaya kepimpinan mahasiswa kini pasti akan mencorakkan budaya kepimpinan masa akan datang. Tanpa usaha yang bersunggguh-sungguh dan disertai dengan jiwa yang besar ia sekadar menjadikan mahasiswa itu didedahkan dengan budaya rubber stamp atau pun budaya angguk. Kesannya cukup besar pada pembinaan struktur sosial masyarakat pada masa akan datang. Malah lebih parah lagi, ia dinodai dengan budaya ampu,perpecahan, tidak bersih-rasuah, fitnah memfitnah, musuh memusuhi dan sebagainya.


Kepimpinan yang membudayakan ilmu

Kepimpinan mahasiswa seharusnya bertunjangkan kepada tadisi ilmu. Tidak hairanlah ia adalah syarat wajib dalam mewujudkan cirri kepimpinan ‘al-qaidul-mufakir’(pemimpin-pemikir) yang mempunyai pandangan luas, jauh merentasi zaman dan berjiwa besar.

Tidak dapat tidak, kepimpinan berbudaya ilmu saja yang mempunyai kemampuan menguruskan perubahan. Perubahan yang tidak terurus dengan baik menyebabkan kecelaruan pada organisasi dan tradisi kepimpinan mahasiswa itu sendiri. Mengulas perkara ini, Craig R. Hickman dan Michael A, Silva dalam tulisan mereka “ Creating Excellence”, menyatakan,

“if we had choose one essential characteristic of what we call the new age, that 

character would be change…Only those leader who learn to anticipate and even 

to invent the future will profit from, rather than surprised by change”


Pendek kata,pimpinan mahasiswa harus bersikap rakus dan tamak dalam menghadam buku yang bersifat ilmiah dan intelektual dalam memastikan budayaan ilmu diserap dalam nilai kepimpinan mahasiswa kini. Pemimpin yang baik seharusnya memerlukan kekuatan intelektual yang bukan kepalang. Bayangkan pemimpin mahasiswa yang lahir ini adalah hasil daripada canaian dan garapan idea-idea yang ada pada tokoh-tokoh pemikir besar yang mempunyai citra tempatan dalam masyarakat kita seperti, Ibnu Khaldun, AL-Biruni, Wang An Shih, Jose Rizal, Sakuma ShozanIqbal, Afghani dan lain-lain. Hal ini secara tidak langsung akan menjadikan pemimpin mahasiswa itu seorang yang bijak dalam membuat keputusan kerana mengambil perkiraan sejarah silam, realiti masa kini, dan kemungkinan-kemungkinan masa akan datang. Walhasilnya ia melahirkan pemimpin mahasiswa yang mempunyai wawasan, bukan sekadar wawasan 2020 tetapi menjangkui Islam Hadhari dan wawasan ummah.


Mahasiswa dan pemikiran

Pimpinan mahasisawa harus turun kelapangan ummat mendepani isu ummah dan menjadi jurubicara ummah. Justeru itu, mahasiswa seperti ini adalah daripada mahasiswa yang mempunyai arus pemikiran yang bebas dari penjajahan pemikiran seperti yang telah dibahaskan oleh sarjana Islam termasuklah Malik Benabi dan Iqbal.

Kita seharusnya akur bahawa golongan mahasiswa ini sebenarnya adalah lahir dari kalangan masyarakat, masyarakat sekadar meminjamkan mereka sebentar dalam suatu tempoh 3-5 tahun akhirnya golongan mahasiswa ini akan kembali ke dalam masyarakat untuk memberi sumbang bakti. Maka dengan itu, untuk menjana mahasiswa yang mempunyai jiwa yang besar sememangnya kita memerlukan mahasiswa yang serius dalam memikirkan persoalan semasa yang menyentuh mengenai isu ummat. Malah, seorang sarjana barat , Sir Walter Moberly (England) dalam bukunya “The Crisis in the University” mengatakan,

Penyakit kita ialah: Kebanyakan pelajar-pelajar yang tamat dari universiti kita 

tidak dilatih berfikir tentang persoalan yang penting. Di bawah perkecualian 

ilmiah, mereka bulat-bulat menerima status quo dalam masyarakat, politik dan 

sekularisme tanpa berfikir secara serius oleh kerana hari ini adanya pemecahan 

dan penyempitan ilmu.

Secara tidak langsung, menyebabkan golongan mahasiswa ini akan mudah terikut dengan segala unsur yang merosakkan. Contoh paling ketara kini adalah budaya hedonisme yang semakin menjadi-jadi dalam masyarakat. Paling menyedihkan mahasiswa tidak terlepas daripada perkara sebegini. Pelbagai penafsiran diberikan kepada budaya namun budaya sebenarnya berkait rapat dengan akal budi manusia itu sendiri. Kita seharusnya sedar dan akur bahawa perlunya pembinaan budaya yang sihat selari dengan tuntutan agama dan norma masyarakat setempat agar ia dapat membina idea yang sesuai dengan kondisi masyarakat madani yang berteraskan pembinaan sahsiah mulia. Justeru itu, segala yang tidak sesuai hendaklah dibersihkan sama ada budaya porno, hedonisme dan lain-lain.


Kebangkitan ummah 

Mahasiswa merupakan sebahagian daripada masyarakat. Tidak keterlaluan dikatakan mahasiswa adalah nadi ummah dalam membawa masyarakat ke tempat yang di redhai Allah. Hal ini berlaku kerana, mahasiswa adalah golongan cerdik pandai yang sudah pasti ilmunya terkedepan daripada kalangan masyarakat yang lain. Tidak keterlaluan dikatakan di era 70an golongan mahasiswalah yang terkedepan dalam mendedahkan segala kebobrokan yang berlaku dalam masyarakat. Kita hartus ingat, abad 21 adalah abad persaingan sengit yang akan membelah masyarakat dunia kepada kelompok winners(menang) dan kelompok losers (kalah).[5]

Ini membawa makna kita harus bersedia dari sudut mental, rohani, fizikal dan sebarang kelengkapan yang perlu dalam menangkis segala perkara yang boleh menyebabkan kita kecundang dengan persainagn dunia abad 21. Justeru itu, golongan mahasiswa perlu dipersiapkan dengan kepimpinan yang mampu merubah ummat, mengilap bakatnya, mengembangkan potensinya dan menyegarkan nilai-nilai unggul agama dan budaya.[6]. Dengan kata lain, pemimpin mahasiswa harus di dedahkan dengan kekuatan intelektual dan ketajaman daya analisis. Maka dengan itu, ia dapat membina seorang pemimpin mahasiswa mampu mengangkat martabat ummah hasil daripada coraka nilaian pada diri mahasiswa itu sendiri.


Kemantapan Tekad

Mahasiswa sebagai golongan muda tidak terlepas daripada pengaruh idealisme yang membawa pembawaan kepimpinan mahasiswa itu sendiri. Apabila mahasiswa mempunyai idealisme dan matalamat yang jelas dalam memimpin mahasiswa perlu mempunyai visi yang jelas.ini adalah cabaran buat mahasiswa dalam mengariskan misi dan visi yang boleh memberi keuntungan kepada ummat dan tidak terlepas kepada masyarakat mahasiswa itu sendiri. Dengan itu, tugas nombor wahid yang perlu ada pada seorang mahasiswa yang bergelar pimpinan adalah dengan mempunyai semangat jihad yang tinggi, daya tahan yang ampuh,kegigihan yang berterusan. Atas kesedaran ini, ia akan berlaku seandainya diri mahasiswa itu disuburkan dengan kepakaran, kemahiran yang diungkap dalam bentuk tarbiyah dari segi rohani, jasmani dan fizikal.




Membina masa depan 

Sememangnya perjuangan kepimpinan mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Soalnya bagaimana hendak mempertingkatkan kekuatan dan menutup lompang kelemahan yang ada dalam melahirkan standard kepimpinan yang mampan agar suatu masa nanti kepimpinan mahasiswa ini akan mengambil alih teraju kepimpinan negara dengan lancer. Bukan sekadar pengambilan tampuk kepimpinan tetapi yang kita mahu adalah ia akan sarat dengan idea dan misi baru yang boleh memberi keuntungan dan keselesaan kepada ummah. Kita tidah harus lupa, sebagai seorang pemimpin, mahasiswa tidak akan terlepas dengan bebanan yang maha hebat yang terletak di pundak mereka. Seperti yang telah dikatakan oleh Ilmuawan besar Haji Agus Salim bahawa memimpin itu adalah menderita. Dalam kaitan ini juga ada serangkap syair Arab yang bermaksud, “ Orang yang berakal menderita di tengah-tengah nikmat, tetapi orang jahil merasa nikmat di tengah-tengah kejahilan.”[7]

Hari ini ummah memerhati dari jauh agar golongon mahasiswa paling tidak pun golongan mahasiswa ini mampu menjadi simbol kekuatan ummah. Sepatutnya, tempoh pengajian yang panjang akan mematangkan diri mahasiswa dalam mencorakkan masa depan negara. Sudah terlalu banyak kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia maka perlulah adanya suatu golongan cerdik pandai yang terlatih agar membaiki suasana masyarakat yang telah rosak ini. Paling tidak pun, golongan mahasiswa yang lahir ini tidak hanya memikirkan isi perut mereka sendiri tetapi sentiasa kedepan dalam melihat segala permasalahan yang berlaku dalam masyarakat. Tiada jalan mudah atau pun lampu ajaib yang boleh merungkai segala permasalahan yang terjadi yang ada kini adalah keazaman, tekad yang membara berpaksikan keilmuan dan budaya fikir yang berpandukan pada tuntutan Quran dan Sunnah.



KESIMPULAN

Dalam melahirkan waris kepimpinan yang baik, kita perlu bersama menyingsing segala kekuatan yang ada dalam mencorakkan gaya kepimpinan yanag akan mentadbir negara ini pada masa akan datang. Dalam hal ini, golongan mahasiswa seharusnya mengekalkan status yang diberikan oleh masyarakat sejak dari awal 30an lagi bahawa mereka telah dinobat sebagai jurubicara ummah, penerus kepimpinan mampan dan penyala obor ummat. Justeru itu, di universitilah antara platform yang terbaik dalam mengasah bakat kepimpinan dan mempertajamkan skil-skil yang boleh dijadikan sebagai senjata ampuh dalam mempertahankan dan menjaga negara ini dari sebarang ancaman mara bahaya.

0 comments: